Ahad, 9 Januari 2011

Putus Asa dan Kegagalan

Dalam kehidupan kita pasti akan merasai takdir akan kegagalan terhadap sesuatu perkara malah telah menjadi sebati terutamanya pada makhluk yang bergelar insan. Namun, setiap kali kegagalan itu berlaku masih belum menjadi pengajaran dan iktibar kepada diri kita. Hal ini pasti akan disusuli dengan kekecewaan yang melampau. Sedangkan ini adalah perkara biasa dalam kehidupan di dunia yang sementara ini. Setiap kali kegagalan itu dihadapi, terlalu sukar untuk diterima oleh hati ini. Ada saja persoalan yang ditimbulkan untuk mempertikaikan kegagalan yang diperoleh.

Setiap kegagalan yang berlaku akan terdetik dalam diri kita akan perasaan berputus asa terhadap perkara yang dilakukan. Tapi adakah keputusan untuk berputus asa akan kegagalan ini merupakan penghujung kehidupan kita dan telah menjadi juram yang dalam untuk kita kecapi kejayaan sedangkan kita masih diberi ruang dan waktu oleh Allah swt untuk mencapainya. Kita pernah dengar ramai ilmuan dan tokoh yang tersohor akan mengahadapi banyak kegagalan sebelum kejayaan. Kegagalan ini juga membuatkan mereka lebih matang dalam menyusun perjalanan kehidupan berdasarkan pengalaman yang dihadapi.

Menjadi kebiasaan kepada kita sebagai manusia biasa yang amat lemah disisiNya, perasaan berputus asa pasti akan terlintas dalam hati kecil ini. Namun perasaan ini akan membuatkan kita berada dalam kerugian yang nyata setelah masa dan diri kita yang panjang telah dikorbankan untuk itu. Adakah perasaan ini berbaloi dengan apa yang telah kita kerjakan?

Perkara yang paling penting untuk kita hadapi ialah perasaan putus asa yang ada dalam diri kita sendiri bukan takut untuk menghadapi keputusan kegagalan itu sahaja. Maka kita perlu sedari sikap putus asa ialah punca kepada kegagalan yang sebenarnya. Bukan kegagalan punca timbulnya perasaan putus asa.
Putus asa akan rahmat Allah swt dan takdirNy merupakan suatu perkara yang perlu kita jauhi. Hal ini, kerana setiap perkara yang berlaku sama ada kegagalan atau kejayaan telah ditakdirkan sejak diri kita ini masih di dalam rahim ibu lagi, maka perlukah kita berasa kecewa dan putus asa terhadap suatu perkara yang telah di “tulis” sebelum terjadinya perkara itu? Semua hanya dalam pengetahuan Allah swt.

Kepada mahasiswa muslim sikap berputus asa akan kegagalan ini seharusnya tiada dalam kamus kehidupan. Hal ini kerana untuk menjadi insan dan pelajar yang produktif perlu berani mengahadapi perkara yang disangka kegagalan ini sebagai ujian kehidupan oleh Allah swt kepada hamba yang dikasihiNya untuk menfaat di dunia dan akhirat.

Dalam dunia sebagai seorang mahasiswa terlalu banyak dugaan dan kepayahan yang akan ditempuh. Dugaan ini merupakan warna-warni dalam kehidupan. Kadang-kadang Allah swt berikan kesusahan untuk lihat kemanakah tawajuh kita sama ada kembali mengharapkan pertolongan Allah swt atau kepada makhlukNya. Maka berjayalah individu yang tetap terus mengaharapkan bantuan Allah swt dengan amal soleh dan berusaha untuk menyelesaikannya.

Hanya kepada mereka yang mengharapkan kejayaan akan tetap mempertahankan semangat juang tanpa menghiraukan rasa putus asa yang datang tanpa mengira waktu dan ketika. Kita perlu ingat, jangan jadikan putus asa sebagai salah satu agenda dalam diari hidup kita. Tetapi jadikan rasa inginkan kejayaan dan mengejar kepada kehidupan yang lebih bermakna sebagai matlamat kita.

Putus asa seakan musuh yang tidak kita sedari. Seharusnya kita mengetahui erti putus asa. Putus asa ialah musuh utama yang akan membawa kepada pelbagai sikap negatif lain. Malas, hilang semangat dan kecewa timbul kerana perasaan putus asa. Jangan biarkan rasa putus asa menguasai diri kerana akan membawa kepada sikap negatif yang lain. Ketahui sikap itu dan berusaha menanganinya. Pasti kejayaan milik kita. Selagi hayat dikandung badan maka tetap berusaha hingga ke akhir untuk mengejar redha Allah swt dalam semua bidang yang kita ceburi.

Akhir sekali sebagai seorang muslim kita perlu sedari bahawa kejayaan dan kegagalan yang hakiki ialah di saat kita bertemu dengan Allah swt di akhirat nanti sama ada kejayaan kita memasuki syurga Allah swt atau kegagalan kita diletakkan tempat yang penuh dengan kesengsaraan selama-lamanya. Pada masa itu putus asa yang berpanjangan pun tiada lagi gunanya setelah kehidupan di dunia kita dilalaikan dengan kenikmatan sehingga kita tidak sedar akan ujian yang berat sedang kita tempuhi iaitu ujian mengingati Allah swt di saat kejayaan yang diberikan olehNya kepada kita. Semoga Allah swt terima amalan kita semua selama ini dan tetap tekun berusaha dengan rahmatNya tanpa berputus asa.