Sabtu, 10 April 2010

Sabar dan Usaha...



Salam, entri kali ini berkaitan persediaan exam semoga aku pun dapat amalkan..
pertama sekali bagi diriku ini.. mcm tak bersedia je..
bawah ni artikel berkaitan Sabar dan Usaha.. agak panjang juga..

em.. apabila masuk study week dan minggu exam.. hasil keputusan mesyuarat dgn syura'.. amal ziarah atau gast dan khuruj di tangguh sekejap kerana memberi ruang untuk study.. study sangat penting.. supaya kita tidak bawa imej buruk kepada usaha agama.. semoga kita berjaya di dunia yg kita ceburi dan akhirat yang selama-lamanya.. so kepada semua sahabat-sahabat ku yang disayangi dan dicintai serta dirindui (jiwang jg hihi..) lakukan exam kali ini dengan terbaik dan ikut keputusan yg telah dimesyuaratkan.. gud luck ye..


SABAR DAN USAHA


Oleh : Mohamad Huszaimi b. Husin


Demi masa,sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan kesabaran
( Surah Al-Asr: 1-3)

Semakin hari bahang peperiksaan semakin terasa. Saat-saat ini dirasakan masa begitu pantas berlalu dek sibuk mengulang kaji dan sebagainya. Tika ini jugalah hati kita diuji dengan pelbagai ujian kadangkala membuatkan kita berasa putus asa.

Ujian adalah lumrah kehidupan yang sememangnya tidak dapat melarikan diri daripadanya, terutama sekali manusia biasa seperti kita. Begitu juga sebagai lumrah seorang pelajar atau mahasiswa untuk menempuhi peperiksaan yang bakal tiba tidak lama lagi. Kita tidak dapat melarikan diri daripadanya tetapi tidak mustahil kita dapat cuba untuk menghadapi dangan kemampuan yang telah kita bekalkan sepanjang satu semester.

Bagaimana kita hendak menghadapinya jika tidak bersedia? Oleh itu gunakan masa yang ada dengan sebaik-baiknya. Masa yang berbaki ini perlu dimanfaatkan, jika tidak akan berlaku sebaliknya. Berikut adalah langkah-langkah yang dapat diambil

1. Semak bahagian yang sukar, fahami dan kuasai topik tersebut. Buat latihan yang berkaitan dengan subjek tersebut dan semak jawapan.

2. Bagi topik yang mudah, banyakkan latihan dengan pantas. Hal ini dapat menambahkan lagi keyakinan pada hari peperikasaan nanti.

3. Ulang kaji kembali nota-nota ringkas yang dibuat sebelum ini. Jangan baca nota yang tebal, hal ini dapat menaikkan perasaan cemas.

4. Jangan terlalu berasa cemas dan bimbang, banyakkan bersabar dan berzikir. Teruskan ulangkaji dengan kaedah yang betul. Selain itu, masa yang ada harus digunakan dengan menyiapkan diri dari segi fizikal, emosi, mental dan rohani. Perkara ini juga banyak membantu dalam memudahkan usaha untuk menyiapkan diri menghadapi peperiksaan.


Amalkan persiapan fizikal seperti mengambil makanan yang seimbang dan mengikut waktu makan yang betul. Hal ini dapat membantu menjaga kesihatan dan turut memberi tenaga dan stamina kepada badan untuk terus mengulangkaji pelajaran.

Dari segi mental pula, berfkirlah dengan positif dan percaya bahawa kita telah berusaha serta yakin untuk menghadapinya. Fokus kepada diri apa yang diinginkan dan buang perasaan risau dan resah. Emosi juga perlu disiapkan untuk “bertempur” di medan peperiksaan nanti. Kawal emosi dan elakkan daripada melibatkan diri dengan konflik-konflik yang menjejaskan emosi belajar kita.

Setiap hari bermuhasabahlah diri tentang setiap perkara yang telah kita lakukan dan ingatlah bahawa setiap kejadian ada hikmah di sebaliknya. Hal ini supaya kita sentiasa berada dalam keadaan positif terhadap orang di sekeliling kita. Sentiasa memaafkan orang lain supaya tidak berlaku permusuhan antara kita terutamanya sesama orang Islam kerana semua umat Islam adalah bersaudara. Dekatkan diri kepadaNya dengan amalan-amalan solat sunat dan bacaan al-Quran.

Apabila kita sentiasa mengingati Allah hati akan menjadi tenang. Oleh itu, kita perlu sentiasa memperkukuhkan lagi hubungan kita dengan Maha Pencipta dengan banyakkan zikir serta sentiasa menceritakan kebesaran Allah s.w.t. Sesungguhnya, Allah Maha Mengetahui perkara yang terbaik untuk kita. Maka berhubunglah denganNya dengan sentiasa memanjatkan doa kepadaNya dengan seikhlas hati dan serendah-rendah diri sebagai seorang hamba yang sentiasa bersyukur kepada Yang Maha Pemurah. Berdoalah agar dipermudahkan urusan dunia dan juga akhirat.

Sebaik-baiknya sebelum memulakan ulangkaji, lakukan solat taubat dan hajat, semoga mudah untuk memahami dan mengingati pelajaran tersebut dan mohon restu dari ibubapa, guru dan pensyarah. Jangan sesekali melukai hati mereka. Setiap perkara yang kita lakukan pada hari ini akan menyelamatkan kita di kemudian hari iaitu hari yang penuh dengan pembalasan hanya yang akan menyelamatkan kita iaitu iman dan amal yang dibina di atas dunia yang sementara ini untuk akhirat yang selama-lamanya.

Maka gunakan masa yang ada ini dengan sebaik-baiknya. Jadilah seorang pengejar ilmu yang cekal hatinya untuk menempuhi pelbagai cabaran dan dugaan serta pendirian dan azam yang teguh. Tidak mudah dipatahkan dengan cabaran yang menimpa. Jadilah seorang penuntut ilmu yang sentiasa patuh dan tunduk kepada Yang Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana, yang mempercayai dengan sebulat keyakinan akan kekuasaan Allah s.w.t. yang menentukan segala-galanya. Jadi, usahlah risau dan gelisah, tetapi bersabarlah dan gunakan masa yang ada dengan usaha menuntut ilmu untuk kejayaan di dunia dan juga akhirat. Selamat Berjaya dalam menjawab peperiksaan.

Wallahualam.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan